Kemalangan Tak Diduga
Oleh: SOPI SAMAILE dan MOHD. FAZLI ZAINUL ABIDIN
![]() |
KIA Rio yang remuk dan mengorbankan pemiliknya, Nor Hailini Yahya (gambar kecil) selepas terjatuh dari tempat letak kereta pada ketinggian 25 meter di Jalan Semantan, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 18 Sept. – Setiap hari itulah kelazimannya. Keluar
seawal 6 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya bagi mendapatkan
tempat meletak kereta yang terhad di pejabatnya di Jalan Semantan di
sini.
Kerana tiba awal, beliau akan tidur sebentar di dalam keretanya yang dipasang pendingin hawa.
Tapi pagi ini, ia adalah yang terakhir baginya.
Semasa tersedar daripada tidur sekitar pukul 7.15 pagi ini, Nor
Hailini Yahya, 45, dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kereta
jenis KIA Rio itu melonjak dan terjunam jatuh dari ketinggian 25 meter
dari tempat meletak kereta yang terletak di atas bukit itu.
Pemangku Naib Presiden Bahagian Undang-Undang Commerce International
Merchant Bankers Berhad (CIMB) itu yang mengalami kecederaan parah
meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, mangsa dipercayai tidak menarik brek tangan manakala
penghadang simen yang dibina setinggi kira-kira 15 sentimeter tidak
mampu menghalang kenderaan mangsa daripada jatuh.
Kereta itu terjatuh di tengah-tengah antara bangunan CIMB dan Amanah Raya Berhad (ARB).
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat CIMB-BCB, Tengku Zarina
Tengku Ibrahim berkata, Nor Hailini memegang jawatannya sejak enam
tahun lalu.
‘‘Allahyarham selalu tiba di tempat kerja sebelum pukul 6.30 pagi.
Allahyarham keluar awal dari rumah sebab ingin mengelak kesesakan lalu
lintas di samping mahu mendapat tempat letak kereta yang agak terhad di
kawasan ini,’’ katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di
sini hari ini.
Menurutnya, Allahyarham kebiasaannya akan tidur terlebih dahulu
selepas meletakkan kenderaannya di kawasan itu sebelum masuk ke pejabat
pada pukul 8 pagi.
“Kebiasaannya Allahyarham tidak akan mematikan enjin keretanya kerana dia memasang pendingin hawa,’’ katanya.
Sementara itu, Timbalan ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
powered by performancing firefox

Kita kena sentiasa berhati-hati apabila berada dalam kenderaan. Orang macam kita ni di peringkat umur tak muda tak tua. Ada yang selalu lupa antara brek dan pedal minyak. Lupa pula nak tarik parking brake. Hati-hatilah ya.
Posted by
Anonymous |
1:51 PM