X P r e s i: February 2007

Thursday, February 15, 2007

Gambar Kinabalu 2

Gambar sebelum mendaki.

Berhenti sekejap. Ambil nafas.


This is my buddy. Waktu mendaki makwe ni la yang selalu bagi makanan. Tak makan, penat. Jadi kena makan.


Itu le puncaknya. Lagi 200 meter.

Di belakang tu, South Peak. Gambar dalam wang kertas RM1. Itu bukan puncak. Jauh lagi tu. Lebih kurang 2km ke puncak.

Gambar Kinabalu

Pemandangan Gunung Kinabalu dari tempat penginapan sebelum mendaki.


Itulah sasaran kami.


Argh... Posing maut ni. Sewaktu di Poring Hot Spring. Rendam kaki lepas mendaki.


Macam tak percaya, saya dah sampai ke puncaknya.


Semasa pendakian. Barang-barang suruh porter angkut. Kita jalan lenggang kangkung je.

Wednesday, February 14, 2007

Chicken Pox

Dah masuk dua minggu anak sulung saya, Aisyah kena chicken pox. Dah dua minggu jugalah dia tak pergi sekolah. Tahun ni dia akan menduduki UPSR. Rasanya baru sekali dia hadir kelas tambahan hari Sabtu, kelas khusus untuk pelajar-pelajar tahun 6. Di rumah, dia kena quarantine. Kena duduk dalam bilik, tak boleh campur dengan adik-adik.

Lewat petang semalam isteri saya telefon. Ketika itu saya tengah dalam kelas pelajar-pelajar PLK. Tak sempat nak silent telefon. Saya jawab telefon depan pelajar. Home Minister is calling me, have to pick-up the phone. Isteri saya beritahu anak bungsu saya pula, si Sarah, dah kena chicken pox juga. Mesti dah jangkit daripada kakaknya.

Pagi tadi saya cuba cari apa punca penyakit ini. Saja nak tambah pengetahuan. Saya terjumpa satu laman web yang dapat menerangkan tentang penyakit ini. Kepada ibu bapa yang nak tahu, sila klik di sini.

Tuesday, February 13, 2007

Tangani Stress

Tiga minggu lepas saya hampir pengsan ketika sedang makan tengah hari. Nasib baik dua orang kawan saya, Norizah dan Ida makan bersama saya. Nasi yang dimakan belum habis sepenuhnya disuap. Kepala rasa berpusing. Kalau ikutkan sejarah keluarga, saya ada masalah tekanan darah rendah. Betul ke? Dua orang kawan saya membawa saya ke pusat perubatan di seksyen 9, Shah Alam.

Setelah mendaftar, saya menunggu giliran. Ramainya pesakit sekarang ni. Di hadapan saya, ada 11 orang pesakit lain. Masing-masing menunggu giliran. Ada 3 orang doktor bertugas waktu itu. Badan rasa lain macam. Kalau berdiri rasa macam tak stabil, nak jatuh. Jadi saya duduk.

Tiba giliran saya. Saya dipanggil untuk masuk bilik pemeriksaan 1. Doktor perempuan, tak ingat namanya. Saya terangkan masalah saya. Doktor tanya kalau-kalau saya ada penyakit tekanan darah tinggi. Saya kata tak ada, tekanan darah rendah adalah. Doktor periksa tekanan darah saya. 140/90. Kalau orang darah tinggi, ini biasalah, tapi kalau orang yang memang tak pernah kena darah tinggi, ini tak biasa. Wow, pertama kali saya kena darah tinggi. Boleh masuk dalam buku sejarah ni. Doktor kata kemungkinan disebabkan stress. Saya mengangguk, mengiakan. Hari tu, doktor bagi MC 2 hari. Rehat secukupnya.

Kawan-kawan budiman. Itu kisah saya. Saya pernah dengar kisah orang lain. Kisah Benar. Umur 43 tahun dah tinggalkan isteri dan anak-anak. Masalahnya, tekanan darah tinggi. Hypertension. Umur-umur sebegini, kena berjimat-cermat. Terutama untuk perut. Makan jangan keterlaluan. Kena pantang.

Monday, February 12, 2007

Teringat kawan-kawan lama

Dah lama saya tidak menghubungi kawan-kawan lama. Raya tahun lepas saya sempat menziarahi salah seorang daripada kawan-kawan saya yang sudah lama terputus hubungan. Kali terakhir saya berjumpa beliau ketika beliau berada di Institut Bahasa, sedang belajar. Sambung buat KPLI. Rasa-rasanya tahun 1990. Saya pada waktu itu turut sama melanjutkan pelajaran di UM, sambung buat Diploma Penterjemahan. Waktu itu, sama-sama masih bujang.

Entah bagaimana, nostalgia terhadap peristiwa lama tiba-tiba sahaja muncul dalam ingatan. Beraya di kampung, saya ambil kesempatan untuk cuba mencari jejak-jejak yang telah lama ditinggalkan. Saya pergi ke Melor. Lebih tepatnya di belakang pejabat pos Melor. Di situ, ada sebuah rumah yang sampai sekarang ini sentiasa di ingatan. Kawan lama saya yang mendiami rumah tersebut dah lama tidak dihubungi. Rumah tersebut pun barang kali sudah lama tiada. Sangkaan saya tepat. Rumah yang saya cari itu sudah tidak ada lagi. Ke mana agaknya kawan saya ini pergi?

Saya terus memandu ke Jerteh, Terengganu. Saya ke Jerteh sebenarnya mahu menziarahi adik saya yang baru berkahwin. Tidak sukar untuk saya mencari rumah itu walaupun saya tidak pernah mengunjunginya sebelum ini. Maklumlah, saya dah buat homework. Sebenarnya, saya dah lihat Google Earth. Peta yang terdapat dalamnya banyak membantu saya mencari rumah adik saya.

Selepas mengunjungi rumah adik saya, teringat pula rakan saya sorang ni. Din, namanya. Rasa-rasa, saya masih ingat lagi kawasan rumahnya. Jalan Tandak, dekat jambatan selepas Hospital Jerteh. Cuma tak tahu rumah mana satu. Saya menyusuri jalan tersebut. Selepas jambatan, saya berhenti. Ada dua tiga rumah yang dibina di situ. Ada rumah besar dicat warna putih. Saya menuju ke rumah tersebut. Selepas memberi salam, muncul gadis kecil. Pasti ini anaknya. Saya bertanya, yang mana satu rumah Cikgu Mohd. Saman, bapa kawan saya ni. Maklumlah, kalau tanya nama Din, takut ramai tak kenal. Dulu masa saya pertama kali menziarahi beliau, sebut saja Cikgu Mohd. Saman, ramai yang kenal. Sangkaan saya tepat dan tidak tepat. Tepat kerana gadis itu tahu rumah Cikgu Mohd. Saman sambil menudingkan jarinya ke arah rumah bapa Din. Tidak tepatnya kerana gadis itu bukanlah anak Din.

Selepas mengucapkan terima kasih, saya terus ke rumah yang ditunjukkan tadi. Kasut dan selipar bersepah di tangga rumah, menunjukkan ramai sekali orang yang menziarahi rumah tersebut. Selepas memberi salam, muncul seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai adik Din. Din tidak ada di rumah. Din dah ada rumah sendiri. Adik Din meminta saya menunggu sementara dia menelefon Din. Lebih kurang 20 minit, Din muncul berserta isteri. Badan macam dulu juga, cuma nampak tua sikit. Ya la dah 16 tahun tak bertemu. Saya pun dah tua juga. Dah masuk era 40-an. Din mengajak ke rumahnya.

Perjalanan ke rumah Din mengambil masa lebih kurang 20 minit. Di rumahnya, kami bercerita kisah di universiti. Saya bertanya kawan-kawan lama seperti Jali Tok Yot, Aziz, Mohd. Abd. Wahab, Kamarudin Mat, dan lain-lain. Rindu saya dengan mereka. Dah lama benar saya tak berjumpa mereka. Saya sempat meminta nombor-nombor telefon.

Kepada kawan-kawanku, semoga kalian semua sihat-sihat semuanya. Hubungilah saya. Email saya ada kat atas tu.