X P r e s i: June 2007

Saturday, June 09, 2007

Slide Show Masyarakat Orang Asli Bateq.



Masyarakat Orang Asli Bateq kebanyakannya mendiami kawasan-kawasan perkampungan di negeri Pahang dan Kelantan. Kajian awal ke atas kumpulan ini telah dilakukan oleh Endicott sekitar tahun 1970-an. Hasil kajian Endicott mendapati suku kaum Bateq agak ketinggalan berbanding dengan suku kaum asli lain. Mereka lebih suka menyendiri dengan kegiatan utama ialah mengumpul hasil-hasil hutan dari satu-satu kawasan. Dalam erti kata lain, kumpulan ini masih melakukan aktiviti mengembara dalam mencari makanan.

Terdapat dua kumpulan suku kaum Bateq iaitu Bateq Nong dan Bateq Deq. Bateq Nong hanya tedapat di dua kampung di daerah Lipis dan Jerantut, manakala Bateq Deq masih tinggal di kawasan-kawasan hutan Taman Negara, di Pahang dan Kelantan. Sekumpulan penyelidik dari UiTM baru-baru ini telah berkesempatan melakukan kajian ke atas suku kaum ini di sekitar Taman Negara. Kajian mereka lebih bertumpu kepada pengumpulan cerita-cerita rakyat dan kaitannya dengan kosmologi mereka. Diharapkan melalui kajian ini, masyarakat dapat lebih memahami kelompok ini berdasarkan persekitaran mereka.