Dah lama saya tidak menghubungi kawan-kawan lama. Raya tahun lepas saya sempat menziarahi salah seorang daripada kawan-kawan saya yang sudah lama terputus hubungan. Kali terakhir saya berjumpa beliau ketika beliau berada di Institut Bahasa, sedang belajar. Sambung buat KPLI. Rasa-rasanya tahun 1990. Saya pada waktu itu turut sama melanjutkan pelajaran di UM, sambung buat Diploma Penterjemahan. Waktu itu, sama-sama masih bujang.
Entah bagaimana, nostalgia terhadap peristiwa lama tiba-tiba sahaja muncul dalam ingatan. Beraya di kampung, saya ambil kesempatan untuk cuba mencari jejak-jejak yang telah lama ditinggalkan. Saya pergi ke Melor. Lebih tepatnya di belakang pejabat pos Melor. Di situ, ada sebuah rumah yang sampai sekarang ini sentiasa di ingatan. Kawan lama saya yang mendiami rumah tersebut dah lama tidak dihubungi. Rumah tersebut pun barang kali sudah lama tiada. Sangkaan saya tepat. Rumah yang saya cari itu sudah tidak ada lagi. Ke mana agaknya kawan saya ini pergi?
Saya terus memandu ke Jerteh, Terengganu. Saya ke Jerteh sebenarnya mahu menziarahi adik saya yang baru berkahwin. Tidak sukar untuk saya mencari rumah itu walaupun saya tidak pernah mengunjunginya sebelum ini. Maklumlah, saya dah buat homework. Sebenarnya, saya dah lihat
Google Earth. Peta yang terdapat dalamnya banyak membantu saya mencari rumah adik saya.
Selepas mengunjungi rumah adik saya, teringat pula rakan saya sorang ni. Din, namanya. Rasa-rasa, saya masih ingat lagi kawasan rumahnya. Jalan Tandak, dekat jambatan selepas Hospital Jerteh. Cuma tak tahu rumah mana satu. Saya menyusuri jalan tersebut. Selepas jambatan, saya berhenti. Ada dua tiga rumah yang dibina di situ. Ada rumah besar dicat warna putih. Saya menuju ke rumah tersebut. Selepas memberi salam, muncul gadis kecil. Pasti ini anaknya. Saya bertanya, yang mana satu rumah Cikgu Mohd. Saman, bapa kawan saya ni. Maklumlah, kalau tanya nama Din, takut ramai tak kenal. Dulu masa saya pertama kali menziarahi beliau, sebut saja Cikgu Mohd. Saman, ramai yang kenal. Sangkaan saya tepat dan tidak tepat. Tepat kerana gadis itu tahu rumah Cikgu Mohd. Saman sambil menudingkan jarinya ke arah rumah bapa Din. Tidak tepatnya kerana gadis itu bukanlah anak Din.
Selepas mengucapkan terima kasih, saya terus ke rumah yang ditunjukkan tadi. Kasut dan selipar bersepah di tangga rumah, menunjukkan ramai sekali orang yang menziarahi rumah tersebut. Selepas memberi salam, muncul seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai adik Din. Din tidak ada di rumah. Din dah ada rumah sendiri. Adik Din meminta saya menunggu sementara dia menelefon Din. Lebih kurang 20 minit, Din muncul berserta isteri. Badan macam dulu juga, cuma nampak tua sikit. Ya la dah 16 tahun tak bertemu. Saya pun dah tua juga. Dah masuk era 40-an. Din mengajak ke rumahnya.
Perjalanan ke rumah Din mengambil masa lebih kurang 20 minit. Di rumahnya, kami bercerita kisah di universiti. Saya bertanya kawan-kawan lama seperti Jali Tok Yot, Aziz, Mohd. Abd. Wahab, Kamarudin Mat, dan lain-lain. Rindu saya dengan mereka. Dah lama benar saya tak berjumpa mereka. Saya sempat meminta nombor-nombor telefon.
Kepada kawan-kawanku, semoga kalian semua sihat-sihat semuanya. Hubungilah saya. Email saya ada kat atas tu.