Cabaran Kinabalu
Pada pertengahan Jun 2006, saya bersama-sama 9 rakan yang lain berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Seawal 7.30 pagi kami memulakan pendakian dari Timpohon Gate dan sampai di Laban Rata sekitar pukul 12.30 tengah hari. Cuaca semasa mendaki agak cerah, cuma pada waktu-waktu tertentu, angin yang dingin sesekali bertiup menyebabkan kami kesejukan.Selepas makan dan berbual mengenai keindahan sekitar, kami berehat sebelum memulakan pendakian ke puncak yang dijadualkan pada pukul 2.00 pagi. Sebaik pintu pagar ke puncak dibuka oleh renjer bertugas, kami mula mendaki bertemankan lampu suluh masing-masing. Walaupun terasa sangat dingin dalam kegelapan malam, semangat kami tidak luntur. Malah semangat makin tinggi tatkala kami sampai di tempat pemeriksaan terakhir, iaitu di Sayat-Sayat.
Selepas Sayat-Sayat hujan mulai turun. Kami mula mengenakan baju hujan RM 2.50 yang dibeli di pekan Menggatal. Pendakian menjadi semakin sukar. Selepas Sayat-Sayat, tidak ada lagi tumbuhan yang kelihatan. Semuanya bongkah-bongkah batu. Dalam keadaan hujan, jalan batu kami menjadi semakin licin. Mujurlah kasut kami mampu mencengkam bongkah-bongkah batu tersebut.
Di kala inilah saya mula terasa seperti sukar untuk bernafas. Udara semakin nipis. Pernafasan tidak menentu. Adakala panjang, adakala pendek. Kepala saya terasa semakin sakit. Sebelum mendaki tadi, saya memang menelan 2 biji aspirin sebagai persediaan sakit kepala. Ini tanda "altitude sickness". Kalau ikutkan guide kami, saya memang kena dibawa turun. Waktu itu saya agak jauh dari guide, jadi saya teruskan juga perjalanan mendaki ke puncak.
Sekitar pukul 5.30 pagi, saya dan rakan-rakan berjaya sampai ke puncak (4095.3 m).