X P r e s i: Apa Nak Jadi!

« Home | Cabaran Kinabalu » | Kemalangan Tak Diduga » | Damai » | Blog Pertama »

Apa Nak Jadi!

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia.


Kakitangan kerajaan, Hajariah Abu Kasim, 45, berkata, setiap pagi beliau bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk ke pejabatnya di Jalan Duta.

Beliau yang tinggal di Sungai Buloh berkata, perkara tersebut dilakukannya sejak 23 tahun lalu dan berterusan sehingga sekarang.

‘‘Boleh saya katakan anak-anak saya juga membesar dalam kereta dan di sekolah kerana mereka belajar di sekolah yang jauh dari rumah dan perlu bangun awal pagi setiap hari untuk ke sekolah bersama saya.

“Memang kasihan apabila memikirkan keadaan mereka yang terpaksa berbuat begitu dan berada di sekolah sehari suntuk. Tetapi itu adalah cara terbaik bagi memastikan mereka sentiasa dekat dengan kita,’’ jelasnya.

Tambah Hajariah, bagi memastikan anak-anaknya selesa sepanjang berada di sekolah, beliau akan menyediakan beberapa persalinan pakaian untuk bersukan dan kelas petang.

Katanya, walaupun beliau dan suami mampu untuk menggaji pembantu rumah tetapi mereka enggan berbuat demikian kerana kurang yakin dengan orang luar. Ujarnya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kesesakan jalan raya adalah sebahagian daripada watak yang akan terus mewarnai kehidupan di Kuala Lumpur.

Seorang lagi kakitangan kerajaan, Sabariah Mohamed, 37, memberitahu peningkatan bilangan kereta di ibu kota menjadikan kesesakan jalan raya bertambah teruk.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan keadaan itu kerana menyedari kereta adalah satu keperluan dan mampu dimiliki setiap orang.

‘‘Walaupun tempat kerja saya tidak jauh dari pejabat, saya akan memastikan kerja rumah saya selesai selewat-lewatnya pukul 6.45 pagi.

‘‘Sekiranya lewat 10 minit, saya harus bersedia menghadapi kesesakan jalan raya di Jalan Kuching,’’ katanya yang tinggal di Selayang.

Ibu kepada tiga anak ini mengakui hanya kesabaran yang menebal sahaja dapat membantu dirinya menghadapi keadaan tersebut.

Zunaida Mydin, 38, pula, memilih menggunakan motosikal ke tempat kerja. Menariknya, Zunaida juga menggunakan kereta tetapi hanya untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

‘‘Selepas hantar anak ke sekolah, saya dan suami akan ke rumah rakan di Sentul untuk mengambil motosikal dan terus ke tempat kerja.

‘‘Dengan cara ini saya rasa akan dapat mengelakkan kesesakan jalan raya dan boleh lebih awal ke sekolah,’’ ujarnya. Biarpun begitu, dia yang tinggal di Segambut tetap perlu bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana mahu menguruskan persekolahan anak-anaknya.

Sekiranya hari hujan, Zunaida tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakan kereta yang pastinya berdepan dengan kesesakan jalan raya.

Tambahnya, pembukaan banyak jalan raya baru masih gagal menyelesaikan masalah kesesakan yang telah lama menghantui penduduk Kuala Lumpur.

powered by performancing firefox

Diri Saya

  • Saya Azhar
  • Dari Shah Alam, Selangor, Malaysia

Profail Saya